Saturday 26 November 2011

Awal Muharram




Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.


KISAH HIJRAH RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berada di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.
Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.

Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW). Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.

Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam ker ana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.
Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW). Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT. Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Sunday 9 October 2011

11 Golongan Ahli Neraka






Firman Allah swt dalam surah al-Naba ayat 18:


"Yaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."

Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut diatas pernah ditanyakan
oleh Saidina Muaz bin Jabal, katanya, "Ya Rasulullah, apa maksudnya ayat
ini?" Maka Rasulullah saw menangis sebelum menjawab soalan tersebut
kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda
menjawab:

"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12
golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan
sahaja yang akan memasuki syurga. Adapun 11 golongan yang memasuki neraka
adalah seperti berikut:-

1.Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana
mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2.Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka
melengah-lengahkan solat lima waktu.

3.Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4.Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Inilah balasan mereka yang berdusta.

5.Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6.Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7.Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut. Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8.Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas. Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9.Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10.Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit2 lain yang menjijikan. Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11.Meraka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga keperut, dari perut dan pehanya keluar kotoran. Ini adalah balasan mereka minum minuman keras.

 Dan satu golongan yang masuk ke syurga ialah:

12.Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian Mustaqim pantas seperti kilat. Ini balasan orang yang beramal salih dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat."

Monday 26 September 2011

Sweet


 
A guy asked a MUSLIM, "Why do your girls cover up their body and hair?" The MUSLIM guy smiled and with him he got 2 sweets, he opened the 1st and kept the other one closed. He thrown them both on the dusty floor and asked the guy, "If I asked you to take one of the sweets, which one will you choose?" :)

Tuesday 6 September 2011

Cermin Kawan





"Ishh taknaklah kawan sangat dengan dia, baik sangat! Asik kena tegur je, ini tak betul, itu tak betul, rimaslah!"

Kata-kata di atas suatu realiti bukan?ok. Bayangkan, ketika anda berjalan-jalan bersama kawan anda dan anda terpijak najis, berdekah-dekah kawan anda mentertawakan anda dan mereka hanya membiarkan anda memijak najis itu. anda pasti rasa itulah kawan yang paling teruk anda pernah anda. namun, pasti lain situasinya ketika anda berjalan bersama-sama dengan rakan anda, anda hampir terpijak najis, namun cepat-cepat kawan anda menegur anda ada najis disitu, anda pun cepat-cepat mengelaknya dan bersyukur tidak terpijak najis itu dan bersyukur juga ada kawan yang begitu prihatin kepada kita.

 
Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita amat bertuah jika masih ada yang mahu menegur kita, membimbing kita, dan membawa kita ke jalan yang lurus iaitu jalan yang Allah redhai. dalam situasi di atas, sahabat yang menegur kita dan yang membimbing kita itulah yang dapat menolong kita daripada tergelumang dengan najis-najis dosa serta terus hanyut dalam kelalaian kepada dunia. Beruntungnya kita mempunyai sahabat yang sentiasa memandui kita menjalani liku-liku dunia yang mana begitu banyak benda yang indah di mata nafsu tetapi begitu jelik di mata iman.

Cuba bayangkan, kita dikerumuni kawan-kawan yang langsung tidak pernah membawa kita mengingati Allah, yang hanya tahu berhibur, bergelak ketawa dan mengajak kita kepada perkara-perkara yang membawa kemungkaran Allah. Iman kita pasti lambat laun akan goyah dan punah. Akhirnya, di akhirat nanti menyesal sudah tiada guna lagi lantaran keegoan kita yang tidak mahu tunduk pada kebaikan yang sering diserukan kepada kita. lebih malang lagi, apabila ajakan - ajakan ke arah kebaikan dan ke arah keredhaan Allah kita selalu entengkan malah lebih teruk jika kita mengata pula yang mengajak kita ke arah kebaikan itu. dikata ini, dikata itu. Umpamanya, kita mengata orang yang cuba memberitahu kita supaya mengelak daripada terpijak najis. tidakkah kita seorang yang sangat teruk jika berpelakuan seperti itu?

Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata.. "nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah dia bersungguh-sungguh.". Iya, nikmat sahabat yang soleh memang tidak ternilai, melihat gerak gerinya, mendengar tutur katanya, semuanya mengingatkan kita kepada Allah. SubhanAllah.

Dalam bersahabat juga, kita perlu ambil masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia biasa. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.. Dia juga ada kelemahan dan Dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. kawan yang sentiasa membimbingnya dan menyedarkannya bahawa segala kekuatan itu datangnya dari Allah yang Maha Kuat dan segala apa yang kita ada juga datangnya dari Allah.

Semoga kita dapat mendidik diri agar tidak bosan menghulurkan tangan. Bukalah ruang rahmat dihati kita, sambutlah tangan mereka dengan penuh kasih sayang. Tiada kesempurnaan dalam diri manusia, bersabarlah menghadapi sahabat yang pelbagai. Semoga kita tergolong dalam golongan sahabat-sahabat yang soleh dan solehah. bersahabat hingga Syurga ! insyaAllah.


“Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Sumber: ilmi-islam.com

Friday 2 September 2011

4 Golongan Lelaki Yang Akan Ditarik Ke Neraka!





Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. - (At-Tahrim ayat 6)



Di akhirat nanti ada empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:-

1. Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami, tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim di mana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong daripada ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak-anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal perlakuan yang haram di sisi Islam. Apabila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Tuesday 23 August 2011

Untuk Mu Sahabat




Apa khabar hati?
Masihkah ia seperti embun?
Merunduk tawaduk di pucuk-pucuk daun
Masihkah ia seperti karang?
Berdiri tegar menghadapi gelombang ujian

Apa khabar iman?
Masihkah ia seperti bintang?
Terang-benderang menyuluh kehidupan

Apa khabar sahabatku?
Di mana pun kau berada
Semoga Allah sentiasa melindungi
Dan menjaga serta memberi kesihatan padamu
Hari ini dan untuk selamanya

Walaupun jarak jauh merentasi bumi
Namun doa tetap menjadi pengikat hati
InsyaAllah

Friday 19 August 2011

Boleh Buat Maksiat, Dengan Syarat..




Dalam kitab al-Tazkirah fi Ahwal al-Mawta wa Umur al-Akhirah oleh Imam al-Qurtubi, diceritakan berkenaan seseorang lelaki yang dalam perjalanan untuk mencari hidayah telah bertemu dengan seorang sufi yang hebat, iaitu Ibrahim Adham.
     Beliau bertanya, apakah ada ruang kepada beliau untuk melakukan maksiat.
     Lalu dijawab oleh Ibrahim Adham: "Kamu boleh melakukan maksiat dengan syarat:


  1. Jangan kamu makan rezeki Allah kerana tidak layak orang yang makan rezeki Allah derhaka kepada Allah.
  2. Jangan kamu tinggal di bumi Allah kerana tidak layak orang yang tinggal di bumi Allah melakukan maksiat dan penderhakaan kepada-Nya.
  3. Buat maksiat di tempat yang Allah tidak nampak akan kamu.
  4. Sekiranya malaikat maut datang hendak mencabut nyawamu, maka katakan kepada malaikat maut untuk menangguhkan sedikit masa lagi umurmu supaya engkau sempat bertaubat. Sekiranya engkau dapat melakukan perkara tersebut, maka dipersilakan untuk melakukan maksiat.
  5. Sekiranya Malaikat Zabaniah penjaga neraka datang hendak mengheretmu ke dalam neraka, maka katakan kepadanya bahawa kamu tidak akan mengikutinya. Sekiranya engkau dapat bernuat demikian, maka dipersilakan 
     Setelah mendengar kata-kata tersebut, lelaki itu menangis teresak-esak kerana dia sedar bahawa tidak layak bagi seorang hamba Allah untuk melakukan maksiat kapada-Nya.
     Akhirnya, lelaki itu menemui jalan hidayah. Dia bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh. Sejak itu, dia bersegera menuntut ilmu dan beramal dengannya serta menjadi hamba Allah yang soleh.

"Katakan tidak pada MAKSIAT"

Thursday 18 August 2011

Wanita Dan Internet



Alangkah baiknya jika ketika kita alpa ada yang mengingati. Ketika kita menjauh ada yang mendekati. Terkadang perkara yang remeh itu boleh menjadi besar disebabkan kita lupa. Apatah lagi sekiranya kita ingkar perintah-Nya. Menyusuri kehidupan ini bukan senang yang disangka. Pelbagai ujian bakal melanda. Kenapa? Dari ujian itu kita tahu yang Allah sayangkan hamba-Nya.Ya, Allah amat sayangkan makhluk-Nya. Dia tidak mahu kita sesat, tidak mahu kita ke Neraka. Sebab itu Dia telah memberi kita satu nikmat yang paling besar. Nikmat apa? Islam. Islam itu indah. Islam itu merangkumi keseluruhan. Tidak akan ada keburukan yang ada pada Islam.
     Cuma sekarang ini sahaja kita tidak tahu betapa indahnya Islam itu sendiri kerana kebanyakkan kita Islam dari nama sahaja.
     Kali ini saya ingin berkongsi sedikit video yang saya perolehi dari rakan saya. Ceramah tentang wanita dan internet. Mari kita muhasabah diri kita semula.


Semoga apa yang disampaikan bolehlah di ambil sedikit pengajaran bagi kita semua. Yang baik datangnya dari Allah, yang buruk dari kesilapan saya sendiri.
Wassalam.


Wednesday 17 August 2011

Bilakah Lailatul Qadar?



Lailatul Qadar adalah satu malam yang amat istimewa. Pada malam tersebut Allah s.w.t. telah menurunkan al-Qur'an dan para malaikat membawa ketetapan Qadha' dan Qadar untuk setahun berikutnya. Selain itu malam tersebut adalah lebih baik dari 1000 bulan yang lain.
Bilakah Lailatul Qadar? Lailatul Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan." [Shahih al-Bukhari, hadis no: 2017]
Ada pandangan yang berkata Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 bulan Ramadhan. Pandangan ini sebenarnya kurang tepat kerana tidak berasal dari al-Qur'an atau al-Sunnah yang sahih. Beberapa sahabat Rasulullah ada mengatakan mereka menemui Lailatul Qadar pada malam 27, akan tetapi ia hanya berlaku pada tahun tersebut. Pada tahun-tahun yang lain, ia jatuh pada malam yang lain. Ini kerana malam Lailatul Qadar sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun. Yang diketahui adalah ia akan jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir. Kenapakah Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan satu tarikh yang pasti?
Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan hikmahnya: "Milik Allah-lah hikmah kebesaran yang ada di sebalik rahsia-rahsia-Nya. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja. Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana Allah s.w.t. merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari Jumaat. Allah juga merahsiakan Nama-Nya yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama baik-Nya (al-Asma al-Husna) secara keseluruhan." [Fiqh al-Siyam, ms. 176-177]
Beberapa alamat Lailatul Qadar Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar. Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. [Shahih al-Jami' al-Shagheir, hadis no: 5475]
Kemudian pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik. [Shahih Muslim, hadis no: 762]

رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّـهِ مِن شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!
(Surah Ibrahim 14: Ayat ke 38)

Thursday 11 August 2011

Teka-Teki Rasulullah s.a.w.




Suatu hari, Rasulullah s.a.w. telah berteka-teki dengan para sahabat. Baginda bersabda yang bermaksud: "Daripada pelbagai jenis pokok, ada pokok yang daunnya tidak pernah gugur dan sifatnya seperti seorang Muslim, apakah pokok tersebut?"
Para sahabat cuba meneka dan menamakan pelbagai jenis pokok yang terdapat di lembah-lembah.
Abdullah Bin Umar yang meriwayatkan peristiwa ini berkata: "Aku terfikir bahawa jawapannya mungkin pokok kurma, tetapi aku segan untuk bersuara dalam kalangan orang yang lebih dewasa (kerana beliau masih di usia kanak-kanak)."
Para sahabat bertanya: "Apakah jawapannya wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda lagi: "Kurma." (Riwayat Muslim no. 5027 dan al-Tirmizi no. 2793)
Demikianlah Baginda sentiasa mempelbagaikan pendekatan tarbiah Baginda dengan mengajak para sahabat agar sentiasa cerdas berfikir dan sentiasa mensyukuri nikmat dan pemberian Allah s.w.t.


Sumber: Majalah Solusi, Edisi Khas, Bil. 34, m/s 12

Wednesday 10 August 2011

Sunyi? Sepi?




Teman ku pernah berkata;

"Sunyi?
Sepi?
Kesunyian dan kesepian adalah satu perasaan
yang boleh kita hindar
jika kita benar-benar
bersama dunia dan penciptaNya..
Kerana sunyi dan sepi itu
rekaan manusia semata..
Indahnya ciptaanNya
sehingga dapat menghilangkan sunyi
dan melenyapkan sepi rekaan manusia.."


Tuesday 9 August 2011

5 Bonus Khas Ramadhan




Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadhan iaitu:


Bonus 1
Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kesturi di sisi Allah.


Bonus 2
Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.


Bonus 3
Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: 'Hampir-hampir hamba-hamba-Ku yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu'. (Mereka sanggup bersusah payah di dunia semi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat).


Bonus 4
Syaitan-syaitan dibelunggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadhan.


Bonus 5
Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya)."


Mengenai bonus kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda s.a.w.: "Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatulqadar?" Baginda menjawab: "Bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalannya."
(Riwayat Ahmad)


Sumber: Majalah Solusi, Edisi Khas, Bil 34, m/s 27

Kematian




Katakanlah : "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja".
(Al-Ahzaab :16)

Tersebut di dalam Unbar (Hadis) lima perkara racun yang membunuh dan lima perkara penawar sebagai ubatnya:
1. Dunia itu racunnya dan zahid itu ubatnya.
2. Harta itu racunnya dan zakat itu ubatnya.
3. Perkataan yang sia-sia itu racunnya dan zikir Allah itu ubatnya.
4. Seluruh umur itu racunnya dan taat itu ubatnya.
5. Seluruh tahun itu racunnya dan Ramadan itu ubatnya.

Sabda Nabi S.A.W.: Akan datang kasih mereka lima perkara dan lupa mereka lima perkara:
1. Kasih mereka kepada hidup — lupa mereka kepada mati.
2. Kasih mereka kepada harta — lupa mereka kepada hisab.
3. Kasih mereka kepada mahligai — lupa mereka kepada kubur.
4. Kasih mereka kepada dunia — lupa mereka kepada akhirat.
5. Kasih mereka kepada makhluk — lupa mereka kepada Allah.

Apabila hampir mati seseorang hamba Allah maka terbahagilah dia kepada lima bahagian.
1. Hartanya untuk warisnya.
2. Nyawanya untuk Malaikal Maut.
3. Dagingnya untuk ulat-ulat.
4. Tulangnya untuk tanah.
5. Amalan dan kebajikannya untuk orang yang dianayainya.



Apabila bercerailah nyawa dari badan maka terdengarlah seruan dari langit tiga kali:
1. Hai anak Adam, adakah engkau tinggal dunia atau dunia tinggalkan engkau?
2. Hai anak Adam, adakah engkau himpun dunia atau dunia himpunkan engkau?
3. Hai anak Adam, adakah engkau bunuh dunia atau dunia bunuhkan engkau?

Apabila dihantar ke tempat mandi berserulah suara dari langit tiga kali:
1. Hai anak Adam, di manakah badan engkau yang kuat mengapa jadi lemah?
2. Hai anak Adam, di manakah lidah engkau yang pitah bercakap mengapa diam?
3. hai anak adam di manakah kekasih engkau mengapakah jadi mulia rakan engkau?

Apabila dibawa ke atas kain kapan maka menyerJah suara dari langit tiga kali:
1. Hai anak Adam, engkau berjalan kepada perjalan yang jauh dengan tidak berbekal?
2. Hai anak Adam, engkau keluar dari rumah tiada akan engkau kembali selama-lamanya?
3. Hai anak Adam, engkau tinggal segala kenderaan maka tiada engkau kenderai selama-lamanya? dan engkau berpindah kepada negeri yang huru hara!

Apabila manyat dibawa di atas perusung (keranda) maka menyerulah suara dari langit tiga kali:
1. Hai anak Adam amat beruntunglah (bahagialah) kamu jika kamu menjadi seorang yang bertaubat.
2. Hai anak Adam amat beruntunglah (bahagialah) kamu jika amal mu baik.
3. Hai anak Adam amat beruntuglah (bahagialah) kamu jika sahabat mu dalam keredaan Allah — dan amat rugilah (celakalah) kamu jika sahabat mu orang yang dimurkai Allah.

Apabila mayat diletakkan untuk disembahyangkan maka menyerulah suara dari langit tiga kali:
1. Wahai anak Adam segala amal mu yang telah kamu lakukan akan kamu lihat.
2. Wahai anak Adam, jika amal mu itu baik kamu akan lihat baik.
3. Wahai anak Adam, jika amal mu itu buruk maka kamu kan lihat buruk.

Imam Annas bin Malik Radziyallah Anhu berkata, bahawa bumi setiap hari berkata:
1. Wahai anak Adam, kamu berjalan di atas ku, kamu akan kembali ke dalam perut ku (kubur).
2. Hai anak Adam, kamu berbuat maksiat dan dosa di atas ku, dan kamu akan disiksa di dalam perut ku (kubur).
3. Kamu bergurau di atas ku, dan kamu akan menangis di dalam perut ku (kubur).

Wallahualam...

Monday 8 August 2011

Hikmah Membaca Bismillah




"Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja."

Kelebihan Bersahur




“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan Muslim
Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.
Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.
Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.
Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
  • Menuruti sunnah;
  • Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
  • Menambah kekuatan untuk beribadat;
  • Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
  • Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
  • Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.
Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah saw: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi
Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah saw menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.
Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Sunday 7 August 2011

Kelebihan Kurma


Kurma ialah sejenis buah yang mempunyai banyak kelebihan.Dengan memakan sebiji kurma seseorang akan mendapatkan kecergasan segera, lebih-lebih lagi pada bulan puasa umat Islam disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma atau makanan yang manis. Kurma mempunyai banyak kelebihannya jika dilihat daripada beberapa sudut :

KESIHATAN 

Mencegah Penyakit Kronik Seperti Penyakit Jantung & Kencing Manis
Berdasarkan kajian Prof. Madya Asiah Zain, Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universti Putra Malaysia (UPM) menyatakan "Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan rsiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah". (BERITA HARIAN, SELASA, 20 FEBRUARI, 2001)

Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan. 
Prof. Madya Asiah juga berkata buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang keshatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga.

Membunuh Kuman Dalam Badan. 
Saidina Ali r.a. meriwayatkan "Barangsiapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya".

KECERDASAN DAN KECERGASAN 

Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbesaran.
Menurut Prof. Madya Asiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

Tenaga Segera. 
Maksud Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Maryam: Ayat 25-26:
Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu".

Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah s.w.t. menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.

KEPERIBADIAN
 

Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran. 
Maksud Hadith Rasulullah s.a.w. :
"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya".
"Melentur buluh biar dari rebungnya". Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadith ini dalam majalah Mingguan Wanita.

KEBERKATAN 

Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran. 
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya;
"Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma".

Makanan Yang Paling Sempurna. 
Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan".
Dengan sebab itulah Prof. Madya Asiah menyatakan lagi "Pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian".

Tanda 100 Hari Sebelum Hari Kematian


Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walau bagaimanapun, semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam saja, sedangkan orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah, nyawa mereka ini akan dicabut tanpa peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi pada beberapa keadaan :

1. Tanda 100 Hari Sebelum Hari Kematian

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hamba-Nya dan hanya akan disedari oleh mereka- mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini, hanya apakah mereka sedar atau tidak saja. Tanda ini akan berlaku lazimnya setelah waktu 'Asar. Seluruh tubuh mulai dari ujung rambut sampai ke ujung kaki akan mengalami getaran, seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging sapi yang baru disembelih, dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan- akan bergetar. Tanda ini rasanya nikmat, dan bagi mereka yang sedar dan berdetak di hatinya bahawa mungkin ini adalah tanda kematian maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah sadar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu saja tanpa ada manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

2. Tanda 40 Hari Sebelum Hari Kematian

Tanda ini juga akan terjadi sesudah waktu 'Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pohon yang letaknya di atas 'Arasy Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mulai membuat persediaannya ke atas kita antaranya adalah ia akan mulai mengikuti kita sepanjang waktu. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

3. Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah sakit dimana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba dia berselera untuk makan.

4. Tanda 3 hari
Pada masa ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita yaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat diketahui / difahami maka berpuasalah kita setelah itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan turun, dan ini dapat diketahui jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

5. Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu 'Asar dimana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di bahagian ubun-ubun dimana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu 'Asar keesokan harinya.

6. Tanda akhir
Akan berlaku keadaan dimana kita akan merasakan satu keadaan dingin di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Penutup

Sesungguhnya marilah kita bertakwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita termasuk di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda- tanda kematian ini, semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan baik dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri, dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. Namun demikian, sesuai dengan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa lagi Pemurah, Maha Pengasih, maka diriwayatkan bahawa tarikh kematian seseorang manusia itu masih dapat diubah dengan amalan doa, baik doa dari kita sendiri maupun doa dari orang lain. Namun hal ini adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.
Oleh kerana itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan waktu dan kesehatan tubuh / badan dan juga fikiran dalam sedaya-upaya kita untuk mencari keredhaan Allah SWT di dunia mahupun akhirat kelak.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

Wallahu a'lam..

Friday 5 August 2011

Sesungguhnya





Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu

Thursday 4 August 2011

Terbaik!



Amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara'. Oleh itu, ada baiknya sebelum menjelang Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;
1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Serta segala yang berkaitan dengan ibadah puasa
Selain itu, kita juga perlu mempelajari puasa dari sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;
1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).
2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.
3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.
Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانَاً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
"Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan kerana Imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dari-Nya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu."
[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.]

Sumber: iluvislam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...