Sunday 31 July 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan


Assalamualaikum.. :)


Saya sangat-sangat gembira.. Kenapa? Akhirnya bulan yang di tunggu-tunggu kembali lagi.. Bulan Ramadhan.. Bulan yang penuh dengan keberkatan.. 


Puasa adalah menahan lapar dan dahaga.. Tapi bila berbuka macam mana pula? Ada pula yang berbuka berhabisan.. Cukuplah sekadarnya.. :) Takut pula bila solat Maghrib susah kerana kekenyangan.. Makanlah berat ketika selesai solat terawih.. Itu lagi baik.. :) Betul kan?


Dan bulan puasa juga bukan untuk kita berhabis untuk membeli makanan.. Beli itu, beli ini.. Akhirnya? Makanan tidak habis dan membazir.. Amalan siapakah itu? 


Satu lagi.. Puasa tu puasa la juga.. Tapi jangan la pula amalan yang lain di tinggalkan.. :) Semoga apa yang kita lakukan ini adalah kerana Allah SWT.. InsyaAllah..


Di sini saya ingin berkongsi sedikit tentang puasa.. Saya pasti ramai yang dah tahu kan? Alhamdulillah.. Sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan kita bersama.. :) Sharing is caring right? :)




Menurut bahasa Puasa bererti menahan diri. Secara syariat yang dimaksud dengan puasa adalah beribadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan menahan diri dari hal-hal yang membatalkan mahupun membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sampai tenggelamnya matahari.

Niat Puasa Ramadhan
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

Lafaz Niat:
Lafaz setiap malam. Niat ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

Lafaz lengkap:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
Lafaznya:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.


Semoga Ramadhan pada kali ini akan membawa seribu makna buat kita semua.. Dalam bulan ini banyak sekali rahmatNya.. :) Itu saja untuk kali ini.. InsyaAllah jika berkelapangan boleh la kita berkongsi cerita lagi..


Berbicara tentang ILMU tiada penghujungnya.. Dan ILMU Allah lah yang Maha Agung..
Wassalam.. :)


p/s: Maaf jika ada kekurangan dan silap.. Sila betulkan saya jika saya silap.. :)

Orang Kaya dan Orang Miskin



Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.
Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor. Kelihatan beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.
Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.
Ada sebuah jeti buruk di situ. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!
Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.
"Nak apa?!"
Dia terketar terkejut, sedikit berundur.
"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."
Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!
"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar kau!!"
Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.
Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!
Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!
"Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.
"Kenapa ni? Gila?!"
"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit," dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.
Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.
Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja..
Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi berlagak seperti fakir. Mungkin..
Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.
"Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?"
Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu per satu, perlahan-lahan dan terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula, nak."
Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.
"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."
Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.
Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.
Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

Sumber: iluvislam

Saturday 30 July 2011

Aku dan Ayah



Ayah..
Panggilan bagi seorang yang ku kenali pada waktu dulu.. Ya, waktu dulu.. Kerana dia telahpun dijemput olehNya terlebih dahulu..
Kisah ini berkisar pada tahun 1999, ketika aku masih lagi di bangku sekolah rendah.. Kepulangan kami dijemput dengan tangisan ibuku.. Kami mulai heran.. Kenapa ibu? Kenapa engkau menangis? Mungkin pada masa itu aku belum mengerti lagi tentang perasaan.. Betul.. Pada masa itu aku cuma berdiam membisu..
Ibuku membawa kami ke bilik dimana ayahku selalu beradu.. Ibuku menyuruh kami membangunkannya.. Tapi.. Ayahku masih juga ‘tidur’.. Berkali-kali dikejutkan tapi hanya sia-sia belaka.. Ayahku tidur dengan nenyak sekali.. Segera pada waktu itu di panggil orang-orang kampung..
Realitinya.. Ayahku sebenarnya telah pun meninggalkan kami semua.. Kami dan juga ibuku yang kini bergelar balu.. Masih ku ingat lagi ketika aku melihat ayah ku kali terakhir sebelum dikuburkan.. Aku pada masa itu di peluk oleh abang ku.. Aku hanya berdiam.. Mungkin masih bingung? Tetapi sedih masih ada dalam hati ini.. Sedih..
Hidup selepas itu seperti biasa walaupun tanpa seorang yang bergelar ayah.. Ibuku menggalas gelaran ketua keluarga kini.. Mesti berat tanggungjawab yang dipikul oleh ibu kan? Terima kasih ibu..
Hari demi hari berlalu.. Pernah semasa di kelas kami diminta untuk membuat karangan tentang Ayah.. Aku? Apa yang aku mahu buat? Sedangkan bagiku tidak banyak masa yang aku dapat bersama dengan ayahku.. Saat pemergiannya aku masih lagi kecil.. Apa yang aku tahu? Yang aku tahu aku hanya meminta ayahku untuk membuat air.. Itu sahaja.. Yang lain?
Kadang-kadang aku berasa sedih.. Apabila melihat orang lain bersama ayahnya.. Tapi ku cekalkan juga hati ini.. Ku tabahkan hati ini.. Mungkin ini juga antara ujian Allah buat ku.. Terkadang aku hanya senyum sendirian.. Mungkin itu boleh menjadi ubat ku..
Hati ini selalu rindu.. Rindu.. Dan rindu itu di jadikan doa untuk menemaninya di sana.. Aku sayangkannya.. Itulah yang hanya mampu ku berikan kepadanya.. Secebis doa..
Mungkin kisah aku ni tiada apa-apa.. Tapi.. Sayangilah ayah mahupun keluarga kamu selagi masih ada.. Kita tidak tahu bila ajal kita semua.. Mungkin juga ajal ku esok? Siapa tahu? Hanya Allah yang tahu.. Bagi yang masih ada, berbuat baiklah.. Sentiasa berdoa untuknya.. Pasti mereka akan gembira jika anak-anaknya mengingati mereka ketika solat.. Tidak ada yang lebih menggembirakan selain mendapat anak yang soleh dan solehah..

Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.. Ini kali pertama saya mengarang.. Maaf jika ada kekurangan.. Yang baik datang dari Allah SWT, yang buruk datang dari kesilapan saya sendiri.. :)

Friday 29 July 2011

Kehebatan Perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih'!



"Can you press for me level 7... Please," Pinta seorang kiwi (orang New Zealand), semasa kami berada di dalam lif di perpustakaan universiti.
"Sure!" Saya membalas, sambil jari menekan butang di lif.
"Cheers!" Dia membalas.
Dalam satu kejadian lain,
"Excuse me, can you take that for me. Please.." Pinta seorang makcik.
"Which one? This one?" Sambil memegang tin dan menunjukkan kepada makcik yang meminta.
"Yup. Thank you so much, my love!" Oh, hati berbunga, kerana dipanggil 'love'!Sweet lah makcik ni~
Saya bukanlah seorang yang terlalu 'alert', tetapi untuk masa-masa yang tertentu, telinga saya menangkap setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang sekeliling. Kemudian, saya berfikir dan menilai, lantas belajar tentang erti kehidupan.
*****
Dalam situasi lain, dengan latar masyarakat yang berbeza.
"Mimi, ambil kan buku atas meja," Saya berhenti sekejap. Otak ligat berfikir, memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.
Saya diam. Badan bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.
"Mimi, buka pintu rumah," Nadanya biasa sahaja. Tiada nada marah, mahupun mengarah. Saya diam. Kad rumah dikeluarkan, pintu dibuka.
Hati memberontak, mahu juga berkata tentang apa yang saya rasa pada kawan sekeliling. Masa senggang yang ada saya ambil untuk membuat perbincangan, dengan harapan sahabat boleh berfikir tentangnya.
"Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'," Saya memulakan bicara.
"Macam mana?", Dia menyoal untuk mengetahui.
"Kita selalu perasan, kawan-kawan kita jarang nak guna perkataan 'tolong'. Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya. Semua pun nak beri arahan,"
"Kita selalu perasan jugak, kiwi-kiwi kat sini, kalau nak minta tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan, "Please". Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat mereka pasti akan guna juga perkataan "Please" tu."
Ego kah diri, sebab tak mahu 'diarah'? Bukan. Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan si pengeluar perkataan tersebut.
Bukankah tujuannya mahu meminta 'tolong'? Tidak terlalu berat atau susah rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.
Bukankah perkataan 'tolong' itu juga menunjukkan rasa rendah diri. Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu. Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.
Manusia, tiada yang sempurna, malah manusia perlu untuk hidup dalam komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu ditampung oleh individu yang lain.
"Eh, dah lah nak minta tolong orang. Kemudian nak mengarah pula." Detik dia di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu. Sedangkan bukanlah dia sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan dia rasa seperti sedang diarah. Sedangkan, kalau difikir kan pun, tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' pun.
Lagi teruk keadaannya apabila permintaan telah dipenuhi, 'terima kasih' tidak dilafazkan.
Terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?
Orang berbudi, kita berbahasa..kan?
Tahun lepas banyak turning point kepada diri. Salah satunya adalah insiden yang berlaku semasa perjalanan ke universiti, dengan menaiki bas.
Rakan saya membayar tambang bas kepada pakcik pemandu. Dikatakannya, "University."Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum, sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50. Pakcik tersebut berkata, "Sorry?" Sambil air mukanya berubah. Rakan saya mengulang perkataan yang sama, "University." Pakcik tersebut,"Again?"
Ketika itu saya sudah mulai rasa pelik. Di dalam hati, "Eh, teruk sangat ke slang kitorang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"
Rakan saya menyebut lagi, "University." Air mukanya tetap tidak berubah, tetap tersenyum. Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah, sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.
Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, kami berfikir, kenapa pakcik tersebut marah? Apa yang kami buat?
Lantas, Allah SWT datangkan pengajarannya. Rakan saya berkata, "Mesti sebab kita tak guna perkataan 'please'.
Kalau tak, takkan lah pakcik tu kata 'rude!' tiba-tiba."
Astaghfirullahal'azim. Saya terdiam, memandang ke luar tingkap, sambil berfikir. Berfikir dan bersyukur diatas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Hati terdetik, "Mereka ni ada nilai-nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan seharian, bukanlah mereka Islam pun. Tetapi, mereka tahu dan amalkan nilai dan adab."
Allahu akbar~ Terima kasih kepada pakcik pemandu bas yang telah 'mengajar' kami nilai dan adab. Hati terasa lembut, tiada langsung rasa mahu marah kerana perkataan "Rude!" yang dikeluarkan.
Marah tiada, tapi terkejut. Langsung, bersyukur kepada Allah SWT yang mahu kami tahu dan belajar tentang erti hidup. Erti hidup yang sebenarnya perlu kepada adab dan nilai hormat kepada orang sekeliling yang telah memberi khidmat dan bantuan.
Jangan ditinggalkan perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih' dalam hidup sehari-hari! Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu untuk kita meminta!
Manners are not born with us, they are acquired.

Sumber: iluvislam

Thursday 28 July 2011

Muhasabah Jiwaku



Termenung aku mengimbau masa lalu,
Mengamati rentetan kehidupan,
Mencari secangkir sinar keluhuran,
Buat bekalan di akhir penantian masa.
Menapak aku di bumi-Mu ini dengan penuh leka,
Lalai aku dalam menunaikan tanggungjawab,
Aku cuba bertahan di pasak kesabaran,
Tetapi rapuh dihempas taufan kehancuran.
Setiap detik yang mendatang menyentap benakku,
Mampukah aku meneruskan perjalanan,
Meredah belukar kebal duniawi,
Agar aku bertahan sehingga ke laluan kemanisan ukhrawi.
Ya Allah yang Maha Mendengar,
Berikanlah aku cahaya petunjuk-Mu,
Pandulah aku yang masih buta di dalam cahaya,
Masih teraba-raba di laluan yang rata.
Ampunkanlah segala dosaku Ya Rabbi,
Hanya Engkaulah yang Maha Pengampun,
Kurniakan aku kemanisan Cinta-Mu,
Agar aku diizinkan mencium haruman syurga-Mu.

Sumber: iluvislam

Wednesday 27 July 2011

Harapan Ramadhan



Pertengahan Sya'ban sudah berlalu. Ramadhan 1432 H tinggal beberapa hari lagi. Waktu terus berjalan, tanpa pernah berhenti. Hari yang berganti hari, bulan yang berganti bulan, dan tahun yang berganti tahun, dalam semua perputaran waktu itu Allah SWT senantiasa memberikan kenikmatan kepada kita.
Semakin Hampir Ramadhan
Setelah kenikmatan terbesar berupa iman, maka kenikmatan-kenikmatan lainnya dianugerahkan kepada kita tanpa bisa kita hitung jumlahnya, bahkan seringkali tidak kita sadari kehadirannya. Yakni nikmat waktu, kesempatan yang diberikan Allah kepada manusia. Maka, bersyukurlah atas nikmat Allah yang tiada tara ini.
Diantara kenikmatan itu adalah sampainya usia kita di akhir bulan Sya'ban ini. Sebentar lagi kita akan memasuki bulan yang penuh dengan keutamaan. Yakni bulan Ramadhan. Pertanyaannya adalah, sudahkah kita siap dalam menyambutnya? Atau jangan-jangan kita malah berkesah diri karena memasuki bulan dengan beban berat. Atau bahkan tidak peduli, karena sedang tenggelam dengan aneka kesibukan duniawi?? Ataukah memang sedang  berencana dan menyambutnya?
Jika para sahabat telah mempersiapkan diri dua bulan sebelum Ramadhan tiba bagaimana dengan kita?, sebagaimana doa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِى رَمَضَانَ
Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rajab dan Sya'ban, serta berkatilah kami di bulan Ramadhan
[Hadis Riwayat Ahmad] 

Tuesday 26 July 2011

Caramel Cream dan Macaroon



Aku melabuhkan punggung di sofa empuk bewarna kelabu.
Telah bertahun lamanya aku tidak keluar bersama-sama keluarga angkat ku seperti ini.
Ma, Pa dan Jia Hui merupakan keluarga angkatku yang berbangsa cina dan beragama Kristian.
Mereka menyusul selepas ku, turut mengelilingi meja kaca yang sama.
"Encik mahu memesan apa?", Tanya seorang pelayan dalam Bahasa Inggeris. Segak dalam suit blazer hitamnya dengan rambut terpacak.
Aku asyik memerhati hiasan dalaman ruang itu.
Sangat indah. Kalau bukan kerana Pa dan Ma yang beriya-iya mengajak, pasti aku masih berbelah bahagi untuk kesini.
Lampu oren berkaca menyimbah frame dinding dan membentuk lukisan abstrak.
Lagu-lagu instrumental di mainkan lembut menyapa telinga.
Mewah sungguh restauran ini, detik hatiku.
"Cik..?"
"Oh.. emm.. caramel cream iceblended and spagethi Olio , please", pesanku hanya menurut pilihan Jia Hui.
Ma memesan jasmine green tea sebelum menghulur buku menu kepadaku. Mungkin Ma sedar aku cuma menuruti bulat-bulat apa yang di pesan Jia Hui tadi.
"Lihatlah dahulu, kamu mungkin mahu menukar pesanan", Ma menguntum senyuman kepadaku. Ya, ibu angkatku ini sangat baik orangnya.
Huluran itu kusambut. Helaian demi helaian ku selak.
Jiwaku berkocak hebat. Menunya, terdapat wine, beer dan lain-lain. Ya Allah, macam mana ni? Halalkah menu lain walaupun andai aku tidak memesan arak yang terang-terang haram? Tapi...'
Hanya Pa masih belum memesan apa-apa. Aku menggeleng kepala. Aku tidak terasa untuk menukar menu kerana aku terkedu melihat menu-menunya. 
"Wine, sir?" Si pelayan cuba memberi cadangan kepada Pa yang dilihatnya masih berfikir untuk memesan apa sedari tadi.
Mataku membulat bagaikan tidak percaya. Bukankah pelayan ini....
"Oh, tidak. saya tak minum pada waktu siang. lagi pula, sekejap lagi saya harus memandu", ujar Pa dalam bahasa inggeris loghat singapore nya.
Aku sedikit lega mendengar jawapan itu.
"Saya minum wine pukul 8 pagi tadi. Ok sahaja. Kamu perlu cuba!" Pelayan itu cuba menawarkan wine tersebut lagi. Sekilas dia menoleh pandangan kosongnya ke arahku.
Aku mengetap bibir. Geram dengan pelayan tersebut.
Dalam hati, aku cuba untuk bersangka baik.
"Really..?" tanya Pa dalam nada kurang percaya.
 "Kamu ok kalau saya pesan wine?", Pa bertanya sambil memandang tepat ke arahku.
perlahan aku menundukkan wajah.
Allah! bantulah aku keluar daripada kesempitan ini...
Secetek ilmu aku yang faqir ini; bahawasanya ' jumhur ulama' bersepakat tidak harus malah jatuh haram hukumnya bagi seorang muslim terlibat secara langsung atau tidak dengan arak. Baik menjual, membeli, memesan, mengirim atau menerima kiriman arak.
Duduk bersama dalam majlis yang di hidang arak juga tidak harus! Ya Allah, terasa berdosa diri ini. Tapi sesungguhnya aku tidak tahu keadaannya begini. Hindarkan lah aku daripada murka Mu.
"Tak apalah, bawakan saya white coffee", pesan Pa seolah dapat membaca riak ku.
Aku tersenyum. Kelat. Nampak sungguh ketidak ikhlasannya. Aku teringat Firman Allah:
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan  menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu) (Al-Maidah: 90-91)
"Ada pesanan sampingan yang lain?" Soal pelayan itu lagi.
"Kek lapis? macaroon? biskut?".
"Macaroon, please", sambut Jia Hui dalam sengih lebar.
Lama sudah aku teringin menjamahnya, namun dek kerana harganya yang terlampau mahal iaitu $15 untuk 5 biji macaroon yang besar sedikit sahaja daripada siling 50 sen, niat itu terpaksa aku batalkan. Aku cuma pelajar disini, di kota Singapura yang maju dan indah. Namun, taraf kehidupan disini agak tinggi membuatkan aku terpaksa berjimat cermat. Aku pasti, di Malaysia mungkin harganya jauh lebih murah.
Pelayan lelaki tersebut berlalu setelah mengambil pesanan.
"Dia lelaki melayu, kan?", Pa menyoal, merujuk kepada pelayan lelaki tadi.
Dari sifat fizikal dan cara percakapannya, aku juga merasakan yang sama.
"Emm.. saya kurang pasti", ujar ku teragak-agak.
"Yea, yea..  nama dia.. saya pasti dia melayu.. tapi tadi, dia kata dia minum. macam mana tu..?" Pa bertanyakan soalan cepu mas kepadaku.
"Urmm.. sepatutnya tidak boleh.. hal ini termaktub dalam al-quran. tapi.." kata-kataku terhenti disitu, cuba mencari jawapan yang terbaik untuk menjelaskan perkara ini.
"Yea.. Jesus Christ juga melarang penganut Kristian.. tapi.. ha ha.." Pa ketawa lambat-lambat.
Aku faham maksud Pa. Mungkin dia berpendapat bahawa Muslim juga seperti Kristian. Suka-suka boleh mengabaikan ajaran Al-Quran, seperti mereka mengabaikan ajaran Jesus. Aku cuba untuk mencari kekuatan untuk menafikan Islam tidak seperti yang mereka sangka. Ajarannya boleh dipermainkan. Tapi, ah.. aku juga tertanya, kenapa ada segelintir umat Islam yang mengaku Islam tapi bersikap seperti orang kafir?
"Saya agak terkejut bila dapat tahu orang Islam tak boleh minum arak. Kenapa,ya?", soal Pa lagi betul-betul ingin tahu. Serentak itu aku teringat Firman Allah lagi:
"Mereka bertanya ke padamu tentang khamar dan judi. Katakanlah (wahai Muhammad), pada ke duanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa ke duanya lebih besar dari manfaatnya..." (Al-Baqarah: 219)
Aku diam lima saat sebelum menjawab, "muslim wajib solat lima kali sehari. waktu solat, kami membaca surah-surah daripada al-quran. di bawah pengaruh alkohol, seseorang mungkin akan membaca ayat al-quran dengan salah. ini adalah kesalahan yang berat. Makna ayat tersebut mungkin berubah sama sekali. Hal ini pernah terjadi suatu masa dahulu sebelum arak di haramkan secara total dalam Islam."
Ma khusyuk memerhati. Jarang-jarang dia bercakap denganku dek aku yang tidak tahu berbahasa Mandarin. Dia pula kurang fasih berbahasa Inggeris.
"Jadi, pernah berlakulah? bila?", soal Pa lagi.
"Em ya, dalam seribu tahun lebih dahulu"
Pa, Jia Hui dan Ma menggangguk perlahan.
"Seribu tahun? wah! Lama sungguh! Jadi, selepas sembahyang pun tak boleh? Maksudnya setiap waktulah?"
Giliran aku pula mengiyakan. Aku mula seronok untuk bercerita mengenai Islam. Nampaknya mereka cukup berminat berbual denganku mengenai Islam.
"Islam memilih jalan selamat dan pencegahan. Arak di umpama seperti ibu segala kerosakkan. ia meragut kewarasan akal seseorang. waktu mabuk, seseorang tidak akan sedar apa yang di lakukan. Dia mungkin membahayakan orang lain dengan memandu secara sewenang-wenangnya, atau merbahayakan diri sendiri kerana terterjun tingkap!" Sambungku lagi.
"Benar.. benar.. kalau kita langgar pokok, tak mengapalah. Tapi kalau kita langgar orang, Nahas!", Sokong Pa.
"Sebab itu saya tidak minum di siang hari. Saya hanya akan minum di rumah waktu malam. selepas minum, saya terus masuk tidur, tidaklah menyusahkan orang", sambungnya lagi.
Nampaknya Pa sudah mula faham tapi dia masih lagi tidak berfikiran luas. Dia masih menganggap arak itu dibolehkan selagi tidak menyusahkan orang lain. Tak mengapalah, dari masa ke semasa akan ku terangkan lagi tentang Islam ini kepada mereka. Mungkin lama kelamaan mereka akan menerima Islam dengan hati terbuka.
Aku merekah tersenyum nipis.
"Tak perlu minumlah, kan lebih baik..", ujarku seloroh penuh makna.
Pa mengulang ketawa lambat. " Tak mengapa, saya pasti akan kurangkan."

Sumber: iluvislam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...